CAROK SEBAGAI ELEMEN IDENTITI MANUSIA MADURA
Mohamad Fauzi Sukimi
Calon PhD.
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia
1.0 PENGENALAN
Sesuatu keunikan seringkali dijadikan elemen penting bagi memperkatakan identiti, sama ada identiti individu ataupun identiti kelompok. Ciri fizikal, corak dan gaya berpakaian, pola perilaku, dan aktiviti-aktiviti budaya yang memperlihatkan keunikan berbanding hal-hal yang dianggap lazim oleh orang lain sering dianggap sebagai elemen yang mencerminkan identiti. Bagi orang Melayu di Malaysia misalnya, agama Islam, raja dan bahasa Melayu dianggap sebagai asas kepada pembentukan identiti Melayu (Shamsul 1996). Di samping ketiga unsur tersebut, unsur-unsur lain seperti pemakaian songkok dan baju Melayu misalnya, telah dianggap sebagai unsur pakaian yang mencerminkan identiti orang Melayu.
Mengenai masyarakat Madura di Indonesia, Kuntowijoyo (2002) dan Andang (2004) telah menunjukkan betapa identiknya Islam dan pentingnya peranan ulama atau kiai dalam kehidupan orang Madura. Agama Islam dibawa masuk ke Pulau Madura pada abad ke 15 dan 16 oleh para pengikut Wali Songo, terutamanya pengikut Sunan Giri dari Gresik. Pengaruh agama Islam terhadap unsur kehidupan masyarakat Madura dapat dilihat terutamanya pada hubungan yang erat antara ulama dengan anggota masyarakat.[1] Besarnya peranan Islam dan ulama atau kiai di dalam kehidupan orang Madura tidak hanya