CAROK SEBAGAI ELEMEN IDENTITI MANUSIA MADURA
Mohamad Fauzi Sukimi
Calon PhD.
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia
1.0 PENGENALAN
Sesuatu keunikan seringkali dijadikan elemen penting bagi memperkatakan identiti, sama ada identiti individu ataupun identiti kelompok. Ciri fizikal, corak dan gaya berpakaian, pola perilaku, dan aktiviti-aktiviti budaya yang memperlihatkan keunikan berbanding hal-hal yang dianggap lazim oleh orang lain sering dianggap sebagai elemen yang mencerminkan identiti. Bagi orang Melayu di Malaysia misalnya, agama Islam, raja dan bahasa Melayu dianggap sebagai asas kepada pembentukan identiti Melayu (Shamsul 1996). Di samping ketiga unsur tersebut, unsur-unsur lain seperti pemakaian songkok dan baju Melayu misalnya, telah dianggap sebagai unsur pakaian yang mencerminkan identiti orang Melayu.
Mengenai masyarakat Madura di Indonesia, Kuntowijoyo (2002) dan Andang (2004) telah menunjukkan betapa identiknya Islam dan pentingnya peranan ulama atau kiai dalam kehidupan orang Madura. Agama Islam dibawa masuk ke Pulau Madura pada abad ke 15 dan 16 oleh para pengikut Wali Songo, terutamanya pengikut Sunan Giri dari Gresik. Pengaruh agama Islam terhadap unsur kehidupan masyarakat Madura dapat dilihat terutamanya pada hubungan yang erat antara ulama dengan anggota masyarakat.[1] Besarnya peranan Islam dan ulama atau kiai di dalam kehidupan orang Madura tidak hanya diperakui oleh masyarakat umum tetapi juga pihak pemerintah Indonesia. Dalam konteks rancangan pembangunan misalnya, pihak ulama atau kiai lah yang lazimnya didekati untuk mengetahui pandangan masyarakat Madura.
Selain kedua unsur tersebut, bahasa dan budaya Madura merupakan unsur yang penting untuk membezakan mereka daripada etnik lain yang terdapat di Jawa Timur. Tidak dapat dinafikan bahawa bentuk budaya masyarakat Madura adalah hampir sama seperti masyarakat Jawa.[2] Bahkan ditinjau dari perspektif yang lebih luas, budaya Madura termasuk dalam lingkaran kebudayaan Jawa-Bali-Madura-Sunda. Namun begitu, budaya Madura mempunyai bentuk dan jiwa tersendiri, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh keadaan cuaca dan bentuk muka bumi yang kasar. Perbezaan ketara yang dapat dilihat dengan jelas adalah dari segi bahasa. Sehubungan dengan itu, dapat disimpulkan bahawa agama Islam, ulama atau kiai dan bahasa Madura dapat dianggap sebagai asas kepada pembentukan identiti Madura.[3]
Selain ketiga unsur tersebut, terdapat unsur lain yang turut menyumbang terhadap identiti Madura. Hal ini kerana, unsur yang mencerminkan identiti suatu kelompok etnik tidak hanya disedari dan diakui oleh anggota kelompok etnik terbabit, tetapi adakalanya diakui oleh kelompok lain. Dalam kehidupan seharian misalnya, sikap serta mentaliti antara orang Madura dianggap berbeza berbanding orang Jawa. Orang Madura terkenal dengan sikap berterus terang dan lurus, yang mana hal tersebut terlihat dalam cara mereka berbicara. Pada pandangan orang luar, orang Madura sering dianggap kasar dan tidak berbudi bahasa.[4]
Di samping stereotaip tentang orang Madura tersebut, dalam kehidupan seharian orang Madura terdapat beberapa aspek yang dikatakan berciri khas Madura seperti soto Madura, sate Madura, karapan sapi, carok, remo dan ojung. Di Indonesia, ‘carok’ telah dianggap sebagai sesuatu yang khas milik kelompok etnik Madura. Dalam kelompok etnik lain, tidak dikenal apa yang disebut sebagai carok. Hanya di dalam etnik Bugis sahaja yang dianggap mempunyai pola perilaku yang hampir menyerupai carok, iaitu fenomena yang disebut sebagai ‘siri’ (Pelras 1996).
Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini cuba mengupas tentang fenomena ‘carok’ di kalangan orang Madura. Kertas kerja ini tidak bertujuan untuk membahas atau menilai carok dari sudut pandang moral. Sebaliknya, kertas kerja ini hanya mengupas fenomena carok dari sudut pandang pihak berkuasa dan pengalaman seharian orang Madura tentang pengertian carok, bentuk-bentuk carok, nilai dan norma masyarakat Madura yang mendukung carok.
2.0 IDENTITI DAN ETNISITI
Sebelum mengupas lebih jauh tentang carok sebagai elemen identiti orang Madura, elok rasanya difahami tentang pendekatan yang diguna untuk memahami konsep identiti. Identiti merupakan suatu persoalan atau konsep yang dapat dilihat sama ada dari sudut pandangan yang sederhana atau yang lebih kompleks. Hal ini kerana identiti sebagai suatu konsep dapat dilihat sebagai suatu objek yang mempunyai dua sisi. Di satu sisi, identiti dapat dilihat sebagai sesuatu fenomena yang ‘natural,’ ‘kaku,’ dan tidak perlu diperdebatkan. Pada masa yang sama, ia dapat dilihat sebagai fenomena yang bersifar ‘cair’, boleh berubah-ubah, dan dapat diperdebatkan.
Dalam perspektif liberal, identiti dalam konteks hubungan antara individu dengan masyarakat bukanlah suatu hal yang rumit. Hal ini kerana setiap individu mempunyai ciri-ciri atau sifat yang sama sehingga menjadikan mereka mempunyai simbol atau ‘identiti’ sebagai anggota kepada suatu kelompok tertentu dalam masyarakat (Rouse 1995). Namun begitu, perkembangan terkini dalam antropologi terutama dalam kajian budaya memberikan hujah yang berbeza. Identiti telah dilihat sebagai suatu proses pembentukan atau konstruksi sosial yang tidak stabil, yang berlaku di dalam suatu jaringan hubungan kekuasaan (Nonini dan Ong 1997). Oleh yang demikian, identiti tidak harus dilihat sebagai sebagai sesuatu ‘essence’ atau inti yang tidak berubah kerana identiti mempunyai hubungan atau kaitan dengan pelbagai faktor. Dalam pengertian tersebut, identiti merupakan sesuatu yang dibentuk dan bukan telah terbentuk secara semula jadi (becoming rather than being) (Hall 1989), tidak pula tertakluk kepada masa dan ruang (Shotter 1993), dan dikonstruksi secara sosial (Jackson and Penrose 1993).
Sesuai dengan perspektif konstruksi sosial, pembentukan identiti sebagai suatu fenomena sosial dapat difahami dengan melihatnya dalam konteks dua realiti sosial. Pertama, realiti ‘authority-defined” iaitu realiti yang didefinisikan oleh pihak yang berada dalam struktur kekuasaan yang dominan. Kedua, realiti sosial “everyday-defined”, iaitu realiti yang dialami sendiri oleh individu dalam kehidupan sehariannya. Kedua realiti sosial tersebut wujud secara seiringan pada sebarang waktu (Shamsul 1996). Dalam kehidupan seharian kedua realiti tersebut saling berkaitan dan secara berterusan saling mempengaruhi. Oleh yang demikian, keduanya mungkin mempunyai persamaan atau sebaliknya. Hal ini kerana realiti sosial “everyday-defined” adalah sesuatu pengalaman yang dialami, manakala realiti sosial “authority-defined” hanyalah hasil daripada pemerhatian dan interpretasi. Oleh yang demikian, identiti yang dipunyai oleh seseorang mungkin bersifat ganda, di satu sisi adalah berasal dari apa yang dinyatakan oleh ‘authority-defined’, dan di sisi lain melalui pengalaman hariannya atau “everyday-defined”, elemen identiti dari sumber lain turut dijadikan rujukan.
Salah satu sumber kepada identiti seseorang adalah identiti etnik. Secara ringkas, pemahaman tentang konsep etnisiti mungkin dapat dibahagikan kepada dua iaitu perspektif primordialis dan perspektif situasionis. Menurut perspektif primordialis, etnisiti adalah sesuatu yang diwarisi (ascribed), sangat dalam akarnya, diberikan sebagai suatu yang diwariskan sewaktu lahir dan secara keseluruhan tidak dapat diubah (van den Berghe 1978 :401). Perspektif situasionis pula melihat etnisiti sebagai suatu fenomena yang muncul hasil daripada interaksi yang secara berterusan antara keadaan alami suatu komuniti lokal, peluang-peluang ekonomi yang ada, dan warisan bangsa atau agama kelompok tertentu (Yancey et. Al. 1976 : 397). Berdasarkan perspektif ini, manusia dilihat sebagai agen yang secara aktif membuat pilihan dan secara strategik mempersembahkan dan menonjolkan lambang-lambang etniknya dengan cara yang dianggap sesuai. Oleh yang demikian, identiti etnik hanya berupa ‘benda’ atau simbol yang ditentukan berdasarkan manipulasi dan persembahan yang berbeza-beza, sehingga ia bukanlah suatu refleksi diri yang sebenar (Chan & Tong 1993:143).
Rosaldo (1988) pula berhujah bahawa identiti tidaklah secara mutlak merupakan suatu yang ekspresif (primordial) atau instrumental (situasional). Lazimnya kedua-duanya berlaku secara seiring. Perspektif ini tidak jauh berbeza dengan pandangan Fishman (1977) yang berpendapat bahawa etnisiti merupakan fenomenologikal antara unsur-unsur warisan (ascription) dan unsur-unsur yang menjadi pilihan sendiri (self-selection). Dalam pengertian tersebut, affiliasi etnik dapat dilihat sebagai terletak di sepanjang garisan panjang di mana seseorang mengorganisasi dan mengkategorikan dirinya, dari keanggotaan yang dipilih sehingga kepada keanggotaaan yang diberikan oleh orang lain (Horowitz 1975:55).
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dikatakan bahawa identiti etnik boleh bersumber kepada apa yang diwarisi oleh seseorang daripada keluarga dan kelompoknya. Namun begitu, sesuai dengan keadaan seseorang individu boleh memilih dan mengekspresikan identiti yang sesuai dengan keinginan dan keperluannya. Keperluan untuk memilih dan mengekspresikan identiti etnik sesuai dengan keinginan atau keperluan sangat penting misalnya, dalam kehidupan bernegara (nation-state). Dalam kehidupan bernegara, kelompok etnik mana yang dianggap sebagai kelompok majoriti atau minoriti dalam membentuk negara-bangsa adalah sangat penting. Dalam hal inilah pemahaman identiti etnik berdasarkan realiti sosial “everyday-defined” atau “authority-defined” dapat digunakan sebagai asas untuk menganalisis bagaimana suatu unsur identiti etnik diekspresikan, diubah atau bahkan ditinggalkan sesuai dengan keperluan individu terbabit.
3.0 PULAU MADURA SEPINTAS LALU
Mungkin tidak ramai yang tahu dengan pasti dari mana orang Madura berasal dan lokasi sebenarnya kedudukan Pulau Madura. Dari sudut kedudukan dan administrasi, Pulau Madura merupakan sebahagian daripada Provinsi Jawa Timur. Ia terletak di timur Pulau Jawa iaitu di sebelah pantai utara. Pulau Madura berukuran 160 km dari timur ke barat dan 35 km dari utara ke selatan dengan jumlah luas secara keseluruhan sekitar 4,250 km persegi (www.info-indo.com/java/madura).
Pulau Madura dibahagikan kepada empat daerah atau kabupaten iaitu Bangkalan, Sampang, Pamekasan dan Sumenep. Selain pulau besar, terdapat 67 lagi pulau-pulau kecil yang lain, di mana 66 buah pulau daripadanya menjadi sebahagian daripada Kabupaten Sumenep. Manakala sebuah pulau lagi termasuk dalam Kabupaten Sampang. Selain itu terdapat dua buah pulau yang kedudukannya agak jauh (sekitar 240 km) dari Pulau Madura iaitu Pulau Karamian yang terletak di sebelah utara dan Pulau Sekala yang terletak di timur Pulau Madura.
Keadaan laut di sebahagian besar Pulau Madura adalah bersih, jernih dan tidak terlalu dalam sehingga dapat memaparkan kehidupan laut, seperti mana yang dapat dilihat di sekitar Pulau Mamburit. Lazimnya, pantai di kebanyakan pulau adalah berpasir putih seperti yang terdapat di Pulau Siring Kemuning, Camplong, Slopeng, Lombang, Saobus, Memburit, Saur, Pagerungan dan kepulauan Kangean. Namun begitu, terdapat juga pulau yang diliputi oleh tumbuh-tumbuhan pantai yang tebal di perairannya.
Berbanding dengan daerah lain di Jawa Timur, tanah di Pulau Madura adalah kurang subur. Tanah di Pulau Madura adalah berbatu dan kering. Keadaan inilah yang mengajar orang Madura untuk menjadi orang yang ‘panjang akal’ dan cepat menyesuaikan diri, dua ciri orang Madura yang sangat dikenali.
Pulau Madura dapat dicapai dengan feri yang memakan masa 30 minit dari Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya ke Pelabuhan Kamal, di barat daya Pulau Madura. Feri yang dapat mengangkut pelbagai bentuk kenderaan, penumpang dan barang-barang bertolak dari kedua pelabuhan tersebut setiap 15 minit, telah dianggap sebagai jembatan bergerak yang menghubungkan Pulau Madura dan Pulau Jawa.
Dari sudut demografi, pada bulan Mei 1992, jumlah penduduk Jawa Timur adalah 31,708,003 orang. Daripada keseluruhan jumlah penduduk Jawa Timur, penduduk Pulau Madura berjumlah 2,877,194 orang. Dari jumlah tersebut, penduduk di Pulau Madura berdasarkan jantina menunjukkan seramai 1,509,431 orang adalah wanita dan seramai 1,367,763 orang adalah lelaki. Menurut data statistik yang dikeluarkan oleh Biro Pusat Statistik setempat, jumlah penduduk Madura pada tahun 1994 telah meningkat kepada 2,979,596 orang (Latief Wiyata 2002 :34).
Meskipun sebahagian daripada Jawa Timur, Pulau Madura dihuni oleh kelompok etnik yang mempunyai bahasa dan adat yang tersendiri. Selain dikenali sejak berabad yang lalu sebagai pelayar yang handal, orang Madura juga terkenal sebagai orang yang kuat bekerja, kasar dan mempunyai semangat yang tinggi. Kesemua ciri keperibadian tersebut sangat sesuai dengan cuaca yang panas dan keadaan muka bumi Pulau Madura yang kering.
Sehingga akhir tahun 1970an, kehidupan orang Madura adalah sangat sederhana yang mana kebanyakan penduduk terlibat dalam kegiatan peternakan, perikanan dan perniagaan kecil. Sejak akhir-akhir ini, sesuai dengan kemajuan teknologi kemudahan infrastruktur seperti jalanraya, bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan pengangkutan darat serta laut di Pulau Madura telah meningkat. Hasilnya, keadaan ekonomi masyarakat Madura telah mengalami peningkatan berbanding 20 tahun yang lalu.
4.0 CAROK SEBAGAI ELEMEN IDENTITI MADURA
Pada awalnya pemahaman tentang carok yang diperolehi bagi menulis kertas kerja ini adalah berasaskan kepada sumber sekunder. Di Malaysia, sangat sedikit bahan bertulis tentang orang Madura, apalagi tentang carok. Bagi memperdalam pemahaman dan memperolehi lebih banyak bahan bertulis tentang orang Madura, penulis telah mengunjungi Jakarta, Pulau Madura dan Jember di Jawa Timur selama dua minggu dari 18 Julai hingga 1 Ogos 2004. Agak terbatas sebenarnya tempoh kunjungan tersebut namun penulis telah berusaha sebaik mungkin untuk mendapat bahan-bahan sekunder. Di samping itu, penulis berusaha untuk mendapatkan data-data primer dengan melakukan temubual terhadap beberapa orang informan berkaitan identiti etnik Madura baik dari sudut pandang “everyday-defined” atau “authority-defined”. Sesuai dengan keterbatasan itulah kertas kerja ini cuba mengupas secara ringkas tentang carok sebagai elemen identiti Madura.
4.1 Pengertian carok dan faktor penyebab
Carok adalah istilah yang berasal dari bahasa Madura yang bermaksud ‘berkelahi’. Tentunya perkelahian dapat ditemukan di mana-mana masyarakat sekalipun. Lalu mengapakah carok menjadi suatu fenomena yang menarik perhatian dan bahkan menimbulkan kegerunan? Carok sebagai suatu perkelahian agak menarik kerana ia melibatkan penggunaan senjata khas Madura iaitu clurit. Oleh kerana itulah, carok dapat ditafsirkan sebagai tindakan secara fizikal yang diambil oleh seseorang untuk menewaskan atau membunuh seorang musuh dengan menggunakan clurit (Touwen-Bouwsma 1989).
Clurit merupakan senjata tajam yang berbentuk bulan sabit. Umumnya clurit digunakan sebagai salah satu alat dalam kegiatan pertanian. Sesuai dengan bentuknya, ia juga sangat berkesan untuk mencederakan orang lain. Begitu eratnya orang Madura dengan clurit sehingga terdapat jenaka mengenainya, seperti berikut:
Dalam satu operasi tentera, seorang pegawai tentera mendapati seorang prajurit yang merupakan orang Madura membawa clurit. Dengan penuh sangsi pegawai tersebut bertanya kepada prajurit berkenaan. “Mengapa kamu bawa clurit? Kan kamu sudah diberi pistol?” Dengan penuh yakin prajurit tersebut menjawab. “Memang betul pak sudah ada pistol tapi kalau pake pistol kan ngak pasti kena…kalau pake clurit..pasti kena!”
Di samping penggunaan senjata yang khas Madura, carok mengundang perhatian kerana ia telah menjadi suatu kelaziman atau pola perilaku, yang mempunyai fungsi budaya di dalam masyarakat Madura. Dengan kata lain, carok telah diterima pakai sebagai cara yang tidak dapat dielakkan bagi menyelesaikan suatu persengketaan yang bertitik tolak dari masalah harga diri.
Lazimnya seseorang itu melakukan carok adalah disebabkan oleh perasaan malo (malu) atau terhina, yang mana harga dirinya dilecehkan oleh orang lain (Latief Wiyata 2002). Dengan kata lain, orang Madura yang merasa bahawa harga dirinya telah dilecehkan akan merasa malu sehingga merasa perlu melakukan carok kepada orang yang menghinanya. Perasaan malu yang mendorong kepada carok tidak selalunya muncul secara sepihak tetapi adakalanya melibatkan kedua belah pihak.
Di kalangan orang Madura, jatuhnya harga diri atau martabat diri dianggap sama ertinya dengan jatuhnya kedudukan diri. Dalam konteks kehidupan bermasyarakat, kedudukan diri seseorang tidak dapat dipisahkan daripada peranan dan status sosial dalam struktur sosial. Peranan dan status sosial seseorang tidak hanya disedari oleh individu terbabit tetapi harus diakui oleh ahli masyarakat yang lain, sehingga dalam setiap hubungan sosial setiap ahli harus saling menghargai antara satu sama lain. Menurut Latief Wiyata (2002:171), bagi orang Madura tindakan tidak menghargai atau tidak mengakui atau mengingkari peranan dan status sosial seseorang sama ertinya dengan memperlakukan seseorang itu sebagai orang yang tada’ ajina (benar-benar tidak punya harga diri lagi) dan selanjutnya menimbulkan perasaan malo.[5]
Orang Madura yang merasa harga dirinya sudah digugat akan cenderung melakukan tindakan terhadap orang yang menghinanya sebagai usaha untuk memulihkan harga dirinya. Tindakan yang diambil cenderung sangat agresif dan lazimnya adalah tindakan menyerang dengan senjata tajam iaitu clurit sehingga ‘musuh’ mendapat cedera atau yang paling ekstrim adalah terbunuh. Ungkapan ango’an poteya tolang etembang poteya mata (biar putih tulang jangan putih mata) adalah ungkapan yang sering diguna pakai bagi menyatakan betapa orang Madura lebih rela mati daripada harus menanggung malo.
Apakah perkara yang boleh menyebabkan orang Madura merasa malo sehingga akhirnya melakukan carok? Beberapa informan yang ditemubual menyatakan bahawa terdapat tiga perkara iaitu pertama, apabila isteri mereka diganggu; kedua, apabila harta mereka diganggu; dan ketiga, apabila keinginan mereka untuk melaksanakan perintah agama ditegah. Antara ketiga perkara tersebut, tindakan mengganggu isteri orang, bermukah atau berzina dengan isteri orang merupakan bentuk pelecehan harga diri yang paling menyakitkan hati bagi lelaki Madura.
Oleh kerana itu, mereka menganggap tiada cara lain untuk menebus maruah yang telah tercabar kecuali membunuh orang yang telah menjatuhkan maruahnya. Hal ini dapat dilihat berdasarkan ungkapan yang berbunyi, “saya kawin dinikahkan oleh penghulu, disaksikan oleh orang banyak, serta dengan memenuhi peraturan agama. Maka siapa saja yang mengganggu istri saya berarti menghina agama saya sekaligus menginjak-injak kepala saya” (Imron 1986:11). Dengan kata lain, martabat dan kehormatan isteri adalah manifestasi daripada martabat dan kehormatan suami kerana oleh orang Madura isteri telah dianggap sebagai bantalla pate (landasan kematian). Oleh kerana itu, tindakan mengganggu isteri orang disebut sebagai agaja’ nyaba yang maksudnya sama dengan tindakan mempertaruhkan atau mempermainkan nyawa (Latief Wiyata 2002:173).
Menurut Latief Wiyata (2002), di mata orang Madura fungsi institusi perkahwinan tidak hanya berkaitan dengan reproduksi dan sosialisasi, tetapi juga berfungsi sebagai manifestasi kelakian atau maskuliniti. Dalam hal ini, seorang lelaki Madura hanya akan merasa dirinya lelaki apabila telah berkahwin dengan seorang wanita. Oleh yang demikian, menurut Latief Wiyata tidak sedikit lelaki Madura yang merasa perlu untuk mempunyai isteri lebih dari seorang untuk menonjolkan maskulinitinya. Bahkan bagi seorang lelaki yang telah dikenali sebagai seorang jago, poligami seolah-olah suatu kemestian bagi mengukuhkan kejaguhannya. Dalam konteks inilah dapat difahami bahawa tindakan mengganggu isteri orang dianggap sebagai penghinaan ke atas lelaki (suami) yang sangat menyakitkan dan menimbulkan perasaan malo yang tak terhingga kecuali membunuh orang yang berkenaan.
Tindakan mengganggu isteri orang tidak hanya dianggap sebagai suatu tindakan yang melecehkan harga diri sang suami tetapi juga dianggap merosak aturan sosial (arosak atoran). Dalam hal ini, suami malo kerana dianggap gagal melindungi isteri, keluarga suami pula malo kerana dianggap gagal memilih menantu yang baik, manakala keluarga isteri malo kerana dianggap gagal mendidik anak. Oleh kerana itu, dapat difahami mengapa carok mendapat dukungan daripada keluarga atau masyarakat.
Selain alasan isteri diganggu orang, carok juga boleh berpunca daripada malo akibat kemampuan diri seseorang tidak diakui oleh teman-temannya. Dalam hal ini, orang Madura yang tidak atau belum membalas dendam bagi ahli keluarganya yang mati dibunuh orang, seringkali dianggap bukan sebagai orang angko (berani). Dorongan untuk melakukan carok sebagai balas dendam didorong oleh ungkapan “aotang pesse majar pesse, aotang nyaba majar nyaba”, yang bermaksud ‘hutang wang dibayar wang, hutang nyawa dibayar nyawa’.
Orang Madura juga akan mencemoh seorang lelaki yang harga dirinya sudah dilecehkan tetapi tidak berani melakukan carok sebagai tidak laki-laki (lo’ lake’). Bahkan terdapat ungkapan “mon lo’ bangal acarok ja’ ngako oreng Madura” (jika tidak berani melakukan carok jangan mengaku sebagai orang Madura). Oleh yang demikian, orang Madura melakukan carok tidak hanya kerana tidak mahu dianggap pengecut tetapi juga agar tetap diakui oleh masyarakat sekelilingnya sebagai orang Madura. Dalam hal ini, Latief Wiyata (2002:178) berpendapat bahawa carok juga dapat diertikan sebagai salah satu cara orang Madura untuk mengekspresikan identiti etniknya. Dengan kata lain, carok tidak hanya dapat dilihat sebagai tindakan agresif yang boleh menyebakan kecederaan parah atau kematian tetapi tindakan yang penuh dengan makna sosial budaya yang harus pula difahami sesuai dengan konteksnya.
4.2 Pelaku, bentuk carok dan tanggapan terhadapnya
Menurut Denkers (dalam Jonge 1993:4), umumnya orang Madura yang melakukan carok adalah lelaki, yang bererti seorang lelaki menentang lelaki lain, bukan lelaki menentang wanita, apalagi wanita menentang wanita yang lain. Apabila berlaku pembunuhan atau tindakan kekerasan oleh seorang lelaki ke atas seorang wanita, atau oleh seorang wanita ke atas wanita yang lain, peristiwa tersebut tidak disebut sebagai carok tetapi sebagai atokar (perkelahian) atau mate’e oreng (pembunuhan biasa). Oleh kerana itu, bagi orang Madura carok adalah urusan lelaki semata-mata dan bukan urusan wanita. Hal tersebut dipertegas dengan ungkapan oreng lake’ mate acarok, orang bine’ mate arembi yang bermaksud lelaki mati kerana carok, perempuan mati kerana melahirkan anak (Latief Wiyata 2002:177).
Tidak semua tindakan agresif yang dilakukan oleh orang Madura dapat dianggap sebagai carok. Pada umumnya, tindakan agresif yang menyebabkan mangsa hanya mengalami luka ringan hanya disebut oleh orang Madura sebagai atokar atau perkelahian biasa. Carok hanya merujuk kepada tindakan yang menyebabkan mangsa luka parah atau mati. Bahkan lazimnya, pelaku carok hanya akan merasa puas, lega dan bahkan bangga sekiranya mangsa mengalami kecederaan parah atau mati.
Carok dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Pertama, carok dengan cara nyelep adalah tindakan menyerang musuh secara senyap iaitu menyerang secara mengejut dari belakang dan dengan sekali tebas membelah perut atau memotong urat nadi leher (Touwen-Bouwsma 1980). Cara nyelep dianggap lebih mudah untuk menewaskan lawan namun cara ini dianggap sebagai tindakan pengecut (kerji’) atau tidak kesatria. Oleh yang demikian, carok nyelep merupakan suatu usaha yang terancang untuk membunuh seseorang atau menyebabkan kecederaan parah, dengan menggunakan kesempatan sewaktu mangsa dalam keadaan lalai, dengan tujuan untuk melepaskan rasa dendam atau rasa sakit hati akibat dipermalukan oleh mangsa di khalayak umum (Soetandyo 1984).
Kedua, adalah dengan menentang musuh secara berhadapan dan dilakukan di mana-mana sahaja. Ketiga, carok yang disebut sebagai ngonggai, yang mana pihak yang ingin melakukan carok harus mendatangi rumah lawannya lalu mencabar untuk bertarung secara berdepan. Carok dalam bentuk kedua dan ketiga tersebut lebih mendekati apa yang dinyatakan oleh Abdurrahman (1977) tentang carok iaitu sebagai suatu perkelahian yang menggunakan senjata tajam antara seorang individu dengan individu lain atau antara satu kelompok dengan kelompok lain, yang terlebih dahulu dipersetujui tentang tempat dan waktu carok akan dilangsungkan.. Namun begitu menurut informan, carok yang seperti ini sudah jarang berlaku. Carok yang sering berlaku adalah bentuk carok nyelep.
Bentuk yang keempat ialah carok yang disebut sebagai gu’-teggu’ sabbu’ yang mana pelaku carok saling memegang seutas tali pinggang dengan tangan kiri dan pada masa yang sama tangan kanan mereka saling menghayun celuritnya.[6] Apapun cara yang dipilih, dalam setiap peristiwa carok pasti akan berakhir dengan luka parah atau kematian. Biasanaya carok yang dilakukan dengan cara nyelep akan menyebabkan orang yang diserang akan mati, manakala penyerang hanya luka ringan atau tidak luka sama sekali. Manakala dalam carok gu’-teggu’ sabbu’ kedua-dua pelaku carok mungkin sama-sama luka parah atau mati.
Lazimnya pemenang suatu peristiwa carok adalah mereka yang dapat menewaskan lawannya sama ada dengan menyebabkan kematian atau luka parah. Jika salah seorang tidak terbunuh maka pemenang ditentukan berdasarkan siapakah yang hanya mengalami luka yang sedikit. Pemenang carok akan dipanggil dengan gelaran oreng jago. Sekiranya oreng jago melakukan carok buat kali kedua atau seterusnya dan memperoleh kemenangan, maka kemenangan tersebut akan memperkukuh gelaran yang telah disandangnya.
Carok dapat dilakukan secara terancang mahupun spontan. Carok secara spontan adalah carok yang dilakukan apabila berlaku perselisihan yang menyangkut masalah harga diri dan pihak yang merasa malo terus menyerang pihak lawan dengan apa juga senjata atau alat yang di sekitarnya. Carok juga dapat dilakukan dengan melalui perancangan atau strategi yang rapi. Dalam hal ini, pelaku carok akan mengintip mangsa untuk menentukan masa dan tempat sesuai untuknya bersembunyi dan kemudian melakukan carok secara nyelep (serang hendap).
Seseorang yang ingin melakukan carok dan seterusnya menjadi jagoan carok harus mempersiapkan dirinya. Menurut Latief Wiyata (2002:189), terdapat tiga prasyarat yang harus dipenuhi iaitu kadigdajan (kemampuan diri), tampeng sereng, dan banda (dana). Kadigdajan adalah segala sesuatu yang berkaitan dengan persiapan diri baik secara fizikal mahupun mental. Persiapan secara fizikal adalah berkaitan dengan kemahiran teknik-teknik dan ilmu membela diri. Persiapan atau prasyarat secara mental lebih mengacu kepada persoalan apakah orang tersebut mempunyai keberanian (angko) atau tidak. Dalam hal ini, pengalaman seseorang yang pernah melakukan carok adalah sangat penting untuk memastikan kejayaannya untuk mempertahan gelarannya sebagai seorang jago.
Seseorang yang akan melakukan carok tidak hanya mengharapkan kekuatan fizikal sahaja tetapi harus mempunyai kekuatan yang bersifat non-fizik atau supra natural. Persediaan inilah yang disebut sebagai tampeng sereng. Bagi mempunyai kekuatan non-fizik, seseorang memerlukan apagar (pendinding) yang dapat diperolehi dengan bantuan dukun carok atau kiaeh (kiyai). Dukun carok akan melakukan proses “pengisian” mantera atau jampi-jampian ke badan pelaku carok. Adakalanya pelaku carok akan diajar dengan bacaan ayat tertentu, mantera atau wirid (zikir) yang kemudian harus diamalkan setiap hari atau sebelum melakukan tindakan carok. Terdapat tiga bentuk mantera atau azimat iaitu: (1) azimat yang membuatkan orang menjadi berani dan selalu siap sedia untuk bertempur yang disebut sebagai nylateng; (2) nyepet pula adalah mantera atau azimat yang membuat orang menjadi kebal; dan (3) mesem adalah azimat atau mantera yang menyebabkan pihak lawan menjadi luluh hati atau menjadi tidak marah.
Daripada sekian ramai dukun carok di Desa Kolpo, Kabupaten Sumenep, terdapat tiga orang dukun carok yang cukup terkenal, iaitu Ki Kabbul, Pak Radung dan saudaranya Pak Saud. Masyarakat tempatan yakin bahawa ketiga dukun tersebut memiliki ilmu yang diwarisi daripada ayah masing-masing. Orang yang datang untuk meminta bantuan atau berguru dengan ketiga dukun tersebut tidak hanya datang dari Batuputih atau Batang-Batang tetapi juga dari luar daerah tersebut seperti dari Waru (Pamekasan) atau Banyuates (Sampang) (Kompas 17 Nov. 2000).
Meskipun zaman telah banyak berubah dan moden, tetapi sebahagian besar warga Madura masih tetap akrab dengan carok dan tindakan-tindakan kekerasan yang lain. Tersinggung sedikit sahaja, mereka boleh melakukan tindakan nekad atau bahkan carok. Apa yang bermain di fikiran orang luar adalah mengapa orang Madura yang terkenal sebagai orang taat beragama masih melakukan hal yang bertentangan dengan ajaran agama seperti carok. Hal ini kerana, dari sudut agama Islam alasan untuk membela harga diri setelah merasa dihina atau diperlekeh oleh orang lain sebagai asas bagi melakukan carok tidak dapat diterima.
Di kalangan orang Madura, mereka mempunyai logika masing-masing untuk terus terlibat dengan carok. Menurut salah seorang jagoan carok iaitu Pak Enda dari Desa Kolpo, Kecamatan Batang-Batang, Kabupaten Sumenep, antara alasan mengapa beliau terlibat dengan carok adalah untuk memberi pengajaran kepada individu tertentu yang bersikap sombong. Bagi Pak Enda, tidak seorang pun boleh bersikap semahunya terhadap sesama manusia. “Kaula ngocak, mon oreng sombong kodu eberi pangajaran, sopaja tak terros e kaandi” yang bermaksud, “saya selalu bilang, kalau orang sombong itu harus diberi pengajaran agar kesombongan itu tidak menjadi wataknya (Kompas 17 Nov. 2000).
Selain dengan alasan untuk menundukkan kesombongan lawan, ada juga memberikan alasan lain untuk terlibat dengan carok. Dalam hal ini, jagoan carok yang bernama Sosro berkata: “manossa paneka coma gaduan otang nyaba ka se Kobasa. Manabi takok mate, artena abak dibik neka tak nyerra’a otang” (kepada Tuhan, manusia itu hanya punya utang nyawa, bukan harta atau yang lain. Jadi, kalau takut mati, artinya kita tidak mahu membayar hutang kita kepada Tuhan). Apa yang diungkap Sosro telah menjadi pegangan hampir semua penduduk Desa Kolpo, Kabupaten Sumenep. Jika harga diri telah disentuh, nyawa bukan sesuatu yang harus dipertahankan. Justeru harga diri itu yang mesti dibela, walaupun nyawa sebagai pertaruhannya (Kompas 17 November 2000). Demikian nilai yang dipegang oleh sebahagian orang Madura dalam konteks carok.
Bervariasinya alasan yang menyebabkan seseorang itu melakukan carok telah menimbulkan rasa gerun di kalangan masyarakat luar Madura. Tidak sedikit orang luar yang mempunyai rasa gerun terhadap orang Madura sehingga takut untuk berhadapan dengan mereka. Apabila ditanyakan mengapa mereka merasa takut, pasti jawapannya adalah berkaitan carok. Oleh yang demikian, carok telah menjadi unsur penting di kalangan orang luar dalam mendeskripsikan orang Madura. Berhubung dengan rasa takut mereka terhadap orang Madura dan carok, seorang informan mengatakan bahawa:
“Lah dulu, bapak saya bilang di Madura ini kalau ngentot di depan orang aja bisa dicarok! Lah kan ngeri. Masa hanya kerana ngentot udah dicarok!”
Meskipun di mata masyarakat Madura carok dan atokar adalah dua perkara yang berbeza tetapi dari sudut authority-defined terutama di mata institusi penegak undang-undang di Indonesia (polis dan badan kehakiman), keduanya tetap dianggap sebagai tindakan jenayah yang melanggar undang-undang. Berdasarkan Kitab Undang-undang Hukum Pidana (KUHP), carok dikategorikan sebagai pembunuhan (fasal 338 dan 340) atau penganiayaan berat (fasal 351,353,354 dan 355), manakala atokar dikategorikan sebagai penganiayaan ringan (fasal 352).
Dalam kebanyakan kes carok, ternyata pelaku carok tidak cuba melarikan diri setelah melakukan carok, sebaliknya menyerahkan dirinya kepada pihak polis. Tindakan ini dilakukan bukanlah kerana mereka telah sedar dengan kesalahan yang telah dilakukan sebaliknya adalah kerana takut dengan tindakan balas dendam yang mungkin akan dilakukan oleh keluarga mangsa.
Secara keseluruhan, Latief Wiyata (2002:184-185), merumuskan pengertian carok iaitu suatu tindakan atau percubaan membunuh (kerana adakalanya hanya berupa penganiayaan berat) menggunakan senjata tajam (umumnya menggunakan celurit) yang dilakukan oleh lelaki (tidak pernah wanita) terhadap lelaki lain yang dianggap telah melakukan pelecehan terhadap harga diri (baik secara individu mahupun secara kolektif yang mencakup kerabat atau keluarga) terutama berkaitan dengan masalah kehormatan isteri sehingga membuat malo.
Di dalam masyarakat Madura, carok telah mendapat sokongan dan persetujuan sosial, yang bererti masyarakat tidak memandang hina atau salah kepada pelaku carok yang membela maruahnya yang tercemar. Carok juga telah menjadi alat budaya bagi pelaku yang mengalahkan musuhnya untuk memperolehi gelaran sebagai oreng jago, sehingga kejayaan dalam carok menimbulkan perasaan puas, lega dan bahkan bangga kepada pelakunya. Secara ringkas dapat disimpulkan bahawa pengertian carok harus mengandungi lima unsur, iaitu : (1) tindakan atau cubaan membunuh antara pelaku lelaki, (2) pelecehan harga diri terutama berkaitan kehormatan isteri, (3) perasaan malo, (4) adanya dukungan serta persetujuan sosial, dan (5) perasaan puas dan bangga bagi pemenangnya.
5. KESIMPULAN
Sejak sekian lama, carok tampak tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat Madura. Carok cukup sinonim dengan orang Madura biar di mana pun mereka berada, sama ada di daerah tanah tumpah darah mereka atau pun di daerah lain. Carok juga lah yang menyebabkan anggota masyarakat lain merasa seram bila berhadapan dengan orang Madura. Carok juga lah yang menyebabkan preman Batak di Pontianak tidak berkutik dan menjadikan orang Madura pernah menguasai bandar tersebut.
Carok sebagai suatu fenomena sosial dapat ditafsirkan dari dua sudut yang berbeza. Dari sudut pandang authority-defined yang bertitik tolak dari carok tentunya dianggap bertentangan dengan peradaban manusia. Oleh yang demikian carok dianggap sebagai suatu jenayah.
Carok di mata orang Madura tentunya ditafsirkan berdasarkan pengalaman, nilai dan norma yang menyelubungi kehidupan mereka. Dari sudut pandang everyday-defined, orang Madura membezakan antara kes bunuh dan carok. Sesuatu kejadian yang berakhir dengan pembunuhan dianggap sebagai kes bunuh atau jenayah apabila ia berlaku tidak berlandaskan kepada alasan membela maruah diri. Kejadian bunuh yang didalangi oleh blater misalnya tidak dapat dikatakan sebagai carok. Manakala kejadian bunuh yang dengan alasan membela maruah maka baru lah ia dinamakan carok.
Apa yang pasti, dari aspek citra atau identiti orang Madura, carok telah menyebabkan wujudnya anggapan bahawa orang Madura hanya mengenal kekerasan dan tidak mengenal kelembutan atau kehalusan dalam budayanya. Anggapan tersebut tentunya tidak benar memandangkan dalam budaya Madura juga terdapat unsur-unsur yang menunjukkan kehalusan. Hal ini dapat dilihat misalnya dalam sastera Madura (lihat hasil kajian Zawawi Imron 1989) dan musik serta seni pertunjukan Madura (lihat kupasan Helene Bouvier 1989).
Di sisi lain, carok tidak hanya mencorakkan identiti Madura tetapi turut mempunyai nilai ekonomi. Clurit yang erat kaitannya dengan carok telah dijadikan bahan cenderahati. Di kios-kios dalam kompleks pelabuhan Kamal, Pulau Madura misalnya terdapat pelbagai ukuran replika clurit yang dijual sebagai cenderahati. Bahkan clurit yang sebenarpun boleh dibeli sekiranya kena pada tempatnya.
6. Rujukan
A. Latief Wiyata. 2002. Carok: konflik kekerasan dan harga diri orang Madura. Yogyakarta: LKIS.
Andang Subaharianto. et al. 2004. Tantangan industrialisasi Madura : membentur kultur, menjunjung leluhur. Malang : Bayumedia.
Jonge, Huub de. 1989. Madura dalam empat zaman : pedagang, perkembangan ekonomi dan Islam. Jakarta : Gramedia.
Jonge, Huub de (ed.). 1989. Agama, kebudayaan dan ekonomi: studi-studi interdisipliner tentang masyarakat Madura. Jakarta: Rajawali.
Kompas. 17 November 2000.
Chan, K.B. & Tong C.K. 1993. ‘Rethinking assimilation and ethnicity: the Chinese in Thailand’. International Migration Review. 27:140-68.
Fishman, J. A. 1977. ‘Language and ethnicity’, in H. Giles (ed). Language, Ethnicity and Inter-Group Relations. London: Academic Press.
Jackson, P. and Penrose, J. (eds) 1993. Constructions of race, place and nation. London: UCL Press; Minneapolis: University of Minnesota Press.
Hall, S. 1989. ‘Cultural identity and cinematic representation’. Framework. 36: 68-81.
Helene Bouvier. 1989. “Musik dan seni pertunjukan di Kabupaten Sumenep”, dalam Jonge, Huub de (ed.). Agama, kebudayaan dan ekonomi: studi-studi interdisipliner tentang masyarakat Madura. Jakarta: Rajawali.
Horowitz, D. 1975. ‘Ethnic identity’, in N. Glazer and D.P. Moynihan (eds). Ethnicity: Theory and Experience. Cambridge, MA: Harvard University.
Nonini, D. M. and Ong, A. 1997. Chinese transnationalism as an alternative modernity’, in A. Ong and D. Nonini (eds). Ungrounded Empires: the cultural politics of modern Chinese transnationalism.
Pelras, Christian. 1996. The Bugis. Oxford : Blackwell.
Shamsul A.B. 1996. Debating about identity in Malaysia: a discourse analysis. Southeast Asian Studies. Vo. 34, No. 3, December.
Shotter, J. 1993. Cultural politics of everyday life. Buckingham: Open University Press.
Soetandyo Wignjosoebroto. et al.1984. Carok : suatu studi cara penyelesaian sengketa di tengah masyarakat yang sedang bertransisi. Laporan penyelidikan, Lembaga Penelitian Universitas Airlangga.
Touwen-Bouwsma. 1989. “Kekerasan di masyarakat Madura”, dalam Jonge, Huub de (ed.). Agama, kebudayaan dan ekonomi: studi-studi interdisipliner tentang masyarakat Madura. Jakarta: Rajawali.
Van den Berghe, P. L. 1978. ‘Race and ethnicity: a sociological perspective’, Ethnic and Racial Studies. 1, 4: 401-411.
www.info-indo.com/java/madura.
Yancey, W. L., Ericksen, E. P. and Juliani, R.N. 1976. ‘Emergent ethnicity: a review and reformation’, American Sociological Review. 41:391-403.
Zawawi Imron. 1989. “Santra Madura: yang hilang belum berganti”, dalam Jonge, Huub de (ed.). Agama, kebudayaan dan ekonomi: studi-studi interdisipliner tentang masyarakat Madura. Jakarta: Rajawali.
Sumber: directory.umm.ac.id/Operating%20System%20Ebook/.../day19.doc
Sumber: directory.umm.ac.id/Operating%20System%20Ebook/.../day19.doc
[1] Pengaruh agama Islam juga dapat dilihat pada gaya seni bina. Kedudukan Pulau Madura yang agak penting dalam laluan perdagangan antarabangsa yang menghubungkan pelabuhan Jawa Timur dan Madura dengan pelabuhan di Eropah dan Timur Jauh, telah mendedahkan Madura kepada tradisi seni dari kebanyakan tamadun dunia seperti dari Mesir, India, Cina, Parsi dan Eropah.
[2] Oleh kerana Madura berkongsi unsur-unsur kebudayaan dan latar belakang sejarah yang hampir sama dengan Jawa, umumnya kehidupan beragama dan cara hidup adalah tidak jauh berbeza. Beberapa abad yang lalu, orang Madura seringkali bergabung tenaga dengan orang Jawa dalam usaha menentang musuh yang sama. Namun pada peristiwa yang lain mereka juga saling berperang antara satu sama lain. Sesungguhnya dalam perjalanan sejarah, hubungan yang merentasi Selat Madura yang sempit sentiasa berlaku dan kini sejumlah besar dari penduduk di Jawa Timur, terutama yang tinggal di sepanjang pantai utara dan tanah dataran adalah terdiri daripada orang Madura.
[3] Dalam temubual penulis dengan Bapak Andang Subaharianto (Ketua, Pusat Penelitian Budaya Jawa dan Madura, Lembaga Penelitian, Universitas Jember) pada tanggal 29 Julai 2004, beliau bersetuju dengan idea yang penulis kemukakan tersebut, iaitu Islam, Ulama dan bahasa Madura sebagai asas pembentukan identiti Madura.
[4] Lazim dikatakan bahawa orang Madura adalah bersifat panas baran dan cepat meluap perasaannya. Sifat-sifat tersebut dikatakan wujud sebagai refleksi kepada keadaan persekitaran yang kering, gersang dan panas di Pulau Madura. Namun begitu, orang Madura tidak hanya bersifat panas baran. Mereka turut belajar untuk pandai berjenaka, bersifat tekun, cepat menyesuaikan diri dan secara keseluruhan tampak menarik. Orang Madura dapat menjadi kawan yang setia apabila didekati dengan cara yang baik tetapi sekiranya kita mengkhianatinya maka awaslah dengan tindakan mereka yang diluar jangkaan.
[5] Dalam bahasa Madura terdapat dua istilah yang boleh diterjemahkan sebagai malu dalam bahasa Indonesia iaitu malo dan todus. Malo adalah perasaan malu yang timbul akibat daripada tindakan orang lain yang mengingkari atau tidak mengakui kedudukan dirinya sehingga merasa tada’ ajina. Manakala todus adalah perasaan malu yang timbul dalam diri sebagai akibat tindakan diri sendiri yang menyimpang dari nilai dan norma masyarakat. Dalam hal ini, seseorang yang melanggar adat kebiasaan akan dianggap sebagai orang yang tidak tahun malu (ta’ tao todus) atau janggal (tidak mengerti etika kesopanan). Lazimnya orang yang merasa todus tidak akan mengambil tindakan carok sebagaimana orang Madura yang merasa malo (Latief Wiyata 2002).
[6] Menurut Imron (1986:9), pelaku carok di wilayah timur (Sumenep) sering melakukan carok secara berhadapan. Manakala di desa Nyabakab Timur terdapat kebiasaan carok dengan cara gu’-teggu’ sabbu’.
0 komentar:
Posting Komentar